Isu Gelatin Babi dalam Perubatan


Hari ini saya ingin kongsikan sedikit petikan mengenai Isu penggunaan
Gelatin Babi di dalam ubat yang terkandung di dalam ebook "Rahsia Ubat Babi"

Mungkin email kali ini sedikit panjang, saya harap anda tidak jemu membacanya. Semoga maklumat yang bermanfaat kita boleh kongsikan  bersama:

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
       ISU PENGGUNAAN GELATIN BABI DALAM UBAT-UBATAN
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

   Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 pada 24 September 1984 berpandangan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang (1984) adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.
 

   Fatwa ini tidak menjelaskan secara spesifik jenis gelatin yang dimaksudkan, oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa gelatin yang dimaksudkan didalam fatwa ini ialah gelatin yang dihasilkan daripada sumber haram sama ada babi ataupun haiwan yang tidak disembelih secara Islam. Tetapi, selepas 26 tahun fatwa ini dikeluarkan, adakah penggunaan gelatin dari bahan haram masih lagi diharuskan? atau penggunaan gelatin dari bahan haram tidak lagi diharuskan pada masa sekarang kerana telah terdapat bekalan gelatin halal yang dihasil daripada sayuran ataupun haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam.
  
   Meskipun ramai umat Islam terutamanya dari negara-negara asia yang majoriti rakyatnya beragama Islam berpegang kepada pendapat bahawa gelatin daripada babi ataupun haiwan yang tidak disembelih mengikut
Islam adalah haram, namun terdapat sebahagian ulama yang berpandangan sebaliknya. Mereka berpandangan bahawa gelatin yang terhasil daripada transformasi tulang, kulit dan tendon (otot) haiwan yang diharamkan adalah suci dan diharuskan memakannya. Transformasi ini ataupun disebut sebagai istihala di dalam bahasa arab bermaksud perubahan sesuatu bahan kepada bahan yang lain dan mempunyai ciri ciri yang berbeza, perubahan bahan-bahan yang asalnya tidak suci menjadi suci, dan perubahan sesuatu bahan yang diharamkan kepada halal.

   Perkara ini telah diputuskan semasa 'Seminar Bahan Haram di dalam Ubat dan Makanan' yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sains Perubatan Islam di Kuwait pada tahun 1995. Seminar ini telah dihadiri oleh 112 ulama dan pakar dari beberapa negara di antaranya Sheikh Dr Mohammad Sayed Tantawai (Mufti Mesir), Sheikh Mohammad Al Mokhtar Al Salami (Mufti Tunisia), Sheikh Mohammad Ben Hammad Al Khalily
(Mufti Oman) dan Dr. Youssef Al Qardawy, Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Cara Hidup Nabi di Qatar pada masa itu. Pandangan ini telah melegakan ramai umat Islam yang sebelum ini merasa berdosa, bersalah atau tidak tenteram apabila mengambil ubat dalam bentuk kapsul gelatin.
http://www.rahsiaubatbabi.com/images/ubat_haram.jpg
   Walaubagaimanapun, Dr Su'aad Salih, Professor Fekah di Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa bahawa :

"Gelatin adalah bahan kasar yang dihasilkan dengan mendidihkan tulang, kulit dan tisu haiwan. Oleh itu, ia bergantung kepada jenis haiwan tersebut. Jika haiwan tersebut dagingnya halal dimakan seperti lembu, unta, kambing dan lain-lain, makan gelatinnya adalah halal, dan begitu juga dengan makanan yang mengandunginya.
Bagaimanapun, jika haiwan tersebut dagingnya haram dimakan seperti babi, maka gelatin yang dihasilkan daripadanya adalah haram".

   Oleh itu, gelatin adalah halal kecuali ia dihasilkan daripada binatang yang dagingnya haram dimakan. Hukum ini digunapakai untuk gelatin yang dihasilkan daripada haiwan. Gelatin yang dihasilkan daripada sayuran ataupun sintetik adalah halal dan boleh dimakan atau digunakan.

   Mengenai  gelatin yang dihasilkan daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syariat Islam, Sheikh Abdus Sattar F. Saeed, Profesor Tafsir Qur'an di Universiti Al-Azhar memberikan fatwa berikut:

"Jika haiwan itu disembelih oleh salah seorang Ahli Kitab, ataupun penyembelihnya tidak diketahui, daging dan gelatinnya adalah halal. Bagaimanapun, jika haiwan itu disembelih dengan kaedah kejutan elektrik, dilemaskan, atau dengan cara lain yang tidak dibenarkan, maka dagingnya adalah haram dan gelatinnya pun haram kerana ia adalah hasil daripada haiwan yang haram"

http://www.rahsiaubatbabi.com/images/berita04.jpg

   Dengan peningkatan kesedaran dan sensitiviti umat Islam tentang status halal gelatin yang terkandung di dalam ubat, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengarahkan syarikat syarikat farmaseutikal yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan dan menyatakan pada label ubat mereka jenis gelatin ataupun sumber haiwan yang digunakan.
  
   Pada November 2009, satu kajian hasil usahasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn mendapati 30% daripada
100 kapsul ubat yang diuji mengandungi gelatin dari babi ataupun campuran gelatin lembu dan babi.

   Menurut Dekan Pusat Pengajian Farmasi USM, Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman " Gelatin dari khinzir (babi) digunakan kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu. Bagaimana pun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan".

  Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada senarai ubat-ubatan yang mengandungi gelatin babi yang dikeluarkan secara rasmi sama ada dari pihak universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia,
Indonesia mahupun Brunei. Ini mungkin kerana, kaedah pengesanan gelatin ataupun sumber haiwan di dalam ubat masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan, serta ujian pengesahan seterusnya perlu dilakukan.
http://www.rahsiaubatbabi.com/images/berita02.jpg
  Kemudian pada April 2010, umat Islam di Malaysia telah dikejutkan lagi dengan pendedahan oleh Datuk Mohd Hanafiah Omar yang tidak berpuas hati apabila menerima ubat Imodium (Loperamide) dalam
bentuk kapsul dari sebuah hospital swasta tanpa memaklumkan ia mengandungi gelatin babi. Lantaran itu, BPFK telah mengarahkan syarikat pemegang pendaftaran ubat cirit birit Kapsul Imodium yang
disahkan mengandungi unsur babi supaya menarik balik produk itu dari pasaran.

  Realitinya, ramai umat Islam di Malaysia yang masih keliru dengan penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi gelatin babi adalah haram di sisi Islam tetapi penjualannya adalah dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, selamat dan label produk yang menyatakan jenis sumber haiwan yang digunakan. Ini membolehkan mereka yang bukan beragama Islam menggunakannya ataupun boleh digunakan oleh umat Islam dalam keadaan yang memenuhi syarat-syarat darurat. Inilah yang seharusnya difahami oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengamal perubatan untuk memaklumkan kepada pesakit sekiranya ubat yang diberikan mengandungi sumber babi, dan menjadi tanggungjawab pesakit pula untuk meneliti dan membaca label kandungan ubat-ubatan yang mereka ambil.

=============================================================
Artikel di atas dipetik daripada Ebook Fatwa-Fatwa Perubatan yang anda boleh dapati di

http://www.rahsiaubatbabi.com/images/ecover/eco02.jpg
==============================================================